
Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuh tindakan iklim di peringkat serantau, dengan memberi penekanan kepada peralihan tenaga yang adil dan inklusif. Negara juga berhasrat untuk memposisikan ASEAN sebagai pusat inovasi hijau dan destinasi pelaburan mampan.
Perkara ini disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sesi dialog maya yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
“Sesi ini memberi ruang untuk kami berkongsi pandangan serta amalan terbaik dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, termasuk perbincangan mengenai hala tuju Nationally Determined Contribution (NDC) yang baharu,” ujar Perdana Menteri.
Dialog tersebut turut melibatkan penyertaan 16 pemimpin negara lain sebagai persiapan menjelang Persidangan Perubahan Iklim COP30 yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 21 November nanti di Brazil.
Dalam sesi itu, Malaysia menegaskan sasaran untuk mengurangkan keamatan karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030, serta mencapai matlamat sifar bersih karbon selewat-lewatnya tahun 2050.
“Komitmen ini digerakkan melalui dasar-dasar utama negara seperti Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta pelaksanaan cukai karbon yang dijadualkan bermula tahun depan,” jelas beliau.
Datuk Seri Anwar turut menekankan bahawa kerjasama antarabangsa dan pembiayaan iklim yang saksama—terutama sekali kepada negara membangun—adalah aspek penting dalam usaha global menangani isu perubahan iklim.
– Malaysia MADANI
![]()