
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan bersejarah dengan Mufti Besar Rusia, Sheikh Ravil Gaynutdin, selepas sesi perbincangan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Sheikh Ravil yang juga Pengerusi Lembaga Agama Islam Persekutuan Rusia, merupakan tokoh penting dalam membentuk landskap Islam di Rusia. Pertemuan ini membuka lembaran baharu dalam mempereratkan hubungan antara umat Islam Malaysia dan komuniti Islam Rusia yang berjumlah lebih 25 juta orang, terdiri daripada pelbagai mazhab dan tradisi.
“Pertukaran pandangan kami meliputi pelbagai aspek berkaitan kepentingan bersama, termasuk usaha memperkukuh institusi keislaman, memperluas kerjasama kepakaran, serta pembangunan industri halal Rusia dengan mengambil manfaat daripada pengalaman Malaysia sebagai peneraju pensijilan halal yang diiktiraf di peringkat global,” ujar Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar turut menyatakan penghargaan terhadap peranan aktif Sheikh Ravil dalam memupuk keharmonian antara agama serta membina persefahaman dalam kalangan masyarakat majmuk di Rusia.
Sebelum itu, Perdana Menteri dan delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Rusia, Mikhail Mishustin di Rumah Kerajaan, sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari ke Rusia dan Kazan, Tatarstan yang berlangsung sehingga 16 Mei.
Dalam pertemuan dengan Mufti Besar itu, Datuk Seri Anwar turut menghadiahkan senaskhah al-Quran berserta terjemahan dalam bahasa Rusia. Menurut beliau, pemberian itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk mewakafkan sejuta al-Quran ke seluruh dunia—usaha dakwah bagi memperluas kefahaman Islam serta menangani sentimen Islamofobia.
“Sebagai balasan yang sangat bermakna, Sheikh Ravil menghadiahkan saya senaskhah al-Quran mushaf Uthmani dari Uzbekistan—sebuah karya warisan yang mencerminkan kesinambungan ilmu dan keindahan Islam merentas benua dan generasi,” jelas Perdana Menteri.
– Malaysia MADANI
![]()